Jodoh dan pertemuan adalah ketentuan Allah.Namun tidak salah mencari calon pasangan. Lebih-lebih lagi bagi lelaki yang inginkan isteri yang baik dan secocok. Panduannya telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w
1. KETURUNAN YANG BAIK
Pilihlah wanita yang dibesarkan dalam lingkungan agama kerana sedikit sebanyak mengalir akhlak yang baik padanya.
2. ZURIAT YANG RAMAI
Sabda Nabi s.a.w “ Kahwinilah perempuan-perempuan yang berketurunan anak ramai, sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya umatku”
-Riwayat Abu Daud dan An Nasai-
Untuk mencari wanita yang ramai zuriat , lihatlah keturunan ibunya.
3. DARI KELUARGA JAUH
Sekiranya perempuan itu dari keluarga jauh , ia dapat menambahkan kemesraan, kebahagian keluarga, kekuatan keturunan dan kecerdasan anak-anak.
Sabda Nabi s.a.w. “ Jangan kau kahwin dengan keluarga yang dekat kerana anak-anaknya akan lahir lemah ( lembab akal dan fizikalnya)”
-Riwayat Ibnu Ady-
4. KEUTAMAAN GADIS
Dalam memilih jodoh, Rasulullah s.a.w. menganjurkan agar diutamakan anak gadis daripada janda.
Sabda Nabi s.a.w. “ Hendaklah kamu memilih wanita-wanita yang perawan kerana sesungguhnya mereka itu lemah lembut katanya, boleh melahirkan anak yang ramai, kurang tipu dayanya dan sentiasa cukup dengan yang sedikit”
-Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi-
5. BAIK AKHLAK
Nabi s.a.w. bersabda “ Kahwinilah wanita yang solehah, sebab kesolehannya itu mempengaruhi (suaminya)”
-Riwayat Ibnu Majah dan Ad Dailami-
6. BERAGAMA
Jangan hanya terpikat kerana cantik rupa wajahnya, harta dan pangkat serta keturunannya semata-mata.
Sabda Nabi s.a.w. “ Janganlah kalian mengahwini wanita kerana kecantikkannya, mungkin kecantikkannya itu boleh mencelakakannya, dan jangan kamu kahwini wanita kerana hartanya mungkin hartanya itu boleh menyombongkannya. Akan tetapi kahwinilah mereka kerana agamanya, sesungguhnya seorang hamba sahaya yang hitam warna kulitnya dan cupingnya berlubang besar tetapi beragama itu lebih utama”
-Riwayat Ibnu Majah dan Al-Baihaqi-
7. WANITA PERIANG
Pilihlah perempuan yang sifatnya periang kerana ini boleh menggembirakan hati suami apabila mereka hidup bersama kelak.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah : ada seorang bertanya kepada Rasulullah. Wanita bagaimanakah yang baik? Sabda baginda” Yang menyukakan (suaminya) apabila dia melihatnya dan taat kepadanya apabila disuruh dan tidak menyalahi suaminya tentang dirinya dan hartanya dengan (mengerjakan) sesuatu yang suaminya tidak sukai’
-Riwayat Nasa’I-
Begitulah di antara beberapa panduan yang penting untuk difikirkan semasa mencari calon isteri. Hanya pemilihan yang tepat akan menghasilkan kebahagiaan rumahtangga.